image

Hari ini merupakan hari terakhir saya di Terengganu. Singgah sebentar di kedai runcit berdekatan Kuala Ibai untuk membeli air mineral dan roti ikan bilis Gardenia sebagai bekalan untuk perjalanan pulang ke KL besok. Terlihat seorang ibu muda dalam lingkungan awal 30-an. Ada dua anak kecil sedang berebut biskut Chipsmore (berharga RM4.10) sedangkan si ibu sedang sibuk membeli beras, minyak masak, telur dan sardin secara berhutang (masuk buku 555).

Ibu muda ini pujuk anak-anaknya “sabarlah nak, ibu tiada duit”. Hati saya meruntun dan saya terasa amat sebak; tanpa disedari mengalir airmata kerana saya dapat meyelami kesusahan ibu muda tersebut. Manakan tidak, saya pun seorang ibu dan mempunyai dua orang anak. Akhirnya, saya belikan biskut tersebut dan bayar RM5. Anak-anak ini melompat kegembiraan sambil berkata “Terima kasih makcik”. Ibunya senyum sambil kesat airmata dan ucap terima kasih juga pada saya dan berlalu pergi.

Saya minta lihat buku 555 ibu muda itu – saya tidak dapat menahan kesedihan kerana ibu muda tadi beli beras, minyak masak, telur dan sardin secara berhutang walaupun sekadar RM45. Air mata saya bergenang dan masuk sahaja dalam kereta saya menangis sepuas-puasnya. Rakyat kita semakin susah sebenarnya – anak-anak terkilan nak beli biskut Chispmore berharga RM4.10 pun tak mampu. Sekembalinya saya ke KL, saya berkongsi cerita ini dengan beberapa rakan usahawan yang rapat dengan saya.

Kami bersependapat kenapa tiada usahawan/nita muslim yang berupaya mengeluarkan biskut sesedap Chipsmore dan lebih berkhasiat tetapi boleh dijual dengan harga yang lebih berpatutan dibawah RM2 supaya kegembiraan ini boleh dikongsi bersama-sama.

Disaat inilah bermulanya perjalanan kami di Kelly & Kids. Misi kami adalah untuk memberikan senyuman kepada kanak-kanak dan ibu-ibu di mana sahaja mereka berada. Mudah-mudahan perjuangan ini diberkati dan mendapat sokongan serta menjadi bekalan kita disana nanti.

“Lakukanlah segala kebaikan walaupun sekecil zarah kerana kita tidak tahu kebaikan mana yang mampu membawa kita ke syurga”